Halaman

Sabtu, 15 September 2012

SIRI 2: SIAPA PENENTU HUDUD GOPOH ATAU SEBALIKNYA? NAS ATAU AKAL

Posted by Zaharudin Muhammad on September 13, 2012 at 1:30 PM
MUKADIMAH:
Sebagaimana yang telah saya janjikan sebelum ini, saya akan menjawab persoalan "bilakah perlaksanaan hudud dianggap ‘gopoh’, ‘tepat masa’ dan ‘tidak melaksanakannya’?". Tulisan ini merujuk kepada beberapa pandangan bahawa hudud masih belum sesuai dilaksanakan kerana keadaan yang masih tidak kondusif sebagaimana yang telah disebut oleh Dr. Asri Zainal Abidin, bekas mufti Perlis. Dr. Dzulkifli Ahmad juga telah menyebut nada yang sama di dalam MOBTV dengan menggambarkan perlaksanaan hudud pada hari ini adalah Isti'jal.
Adakah gopoh itu ditujukan kepada UMNO jika UMNO melaksanakan hudud pada hari ini dalam konteks negara Malaysia? Atau ianya dimaksudkan dengan enakmen hudud di Kelantan sebagai gopoh jika ia mula dilaksanakan dan dikuatkuasakan?
Artikel ini cuba memberikan olahan berdasarkan fiqh Islam, iaitu ijtihad yang bersumberkan dalil tafsili (usul) berkenaan isu ini. Jika kita mengambil dan menerima hukum hudud sebagai hukum dari Al-Quran dan Sunnah, kenapa persoalan gopoh ini juga tidak merujuk kepada sumber yang sama?.

KAEDAH SOLAT BAGI MEMAHAMI HUDUD.
Sebelum saya terangkan secara lebih terperinci, suka untuk saya berikan contoh Al-Nazaair (persamaan) dengan isu hudud, iaitu solat dari segi penentuan gopoh atau sebaliknya? Bilakah anda dianggap ‘gopoh’, ‘tepat waktunya’ atau ‘tidak menunaikan’ solat?
Oleh kerana bersemangat untuk bersolat zohor menyebabkan anda telah menunaikannya pada pukul 10 pagi, maka anda dianggap ‘gopoh’. Bila anda menunaikannya pada pukul 1 45 tengahari, 10 minit sejurus masuk waktu zohor, maka anda dianggap menunaikannya ‘tepat’ pada waktunya. Tetapi apabila anda belum bersolat zohor sedangkan waktu sudah menunjukkan pukul 10 malam, maka anda layak digelar ‘tidak solat’. Siapa yang menentukan anda sebagai gopoh, tepat atau tidak bersolat? Bagaimana ia ditentukan?

SIAPA PENENTU?
Jawapannya ialah Allah swt, bukan akal anda. Allah swt yang telah menurunkan hukum-hakam dan Dia juga menentukan bilakah anda perlu melaksanakannya? Allah swt berfirman bermaksud: dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata.- (Al-Ahzab: 22).
Di dalam ayat ini jelas menyatakan Allah swt adalah pemutus kepada sesuatu ketetapan melalui Rasulnya SAW, bukan akal anda. Akal dijadikan Allah swt guna untuk memahami arahanNya tentang bila dan bagaimana sesuatu kewajiban perlu dilaksanakan.
Dengan lain perkataan, selepas menerima arahan Al-Quran tentang sesuatu kewajipan, maka yang menentukan bila dan bagaimanakah perlaksanaannya juga ialah Al-Quran atau sunnah. Sebagai contoh turunnya firman Allah swt tentang kewajipan solat: “Hendaklah kamu menunaikan solat” (Al-Baqarah: 433). Bila solat itu perlu dilaksanakan? Maka di sana terdapat firman Allah swt yang lain guna bagi menunjukkan bahawa ‘solat yang wajib’ ini bukannya boleh dilaksanakan sesuka hati. Firman Allah swt: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103). Secara lebih detail akhirnya diterangkan melalui hadis yang menceritakan Malaikat Jibril turun kepada nabi SAW menerangkan had waktu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Jadi yang menentukan bila solat itu ialah Allah SWT dan ditentukan melalui ayat-ayat tertentu dan diperincikan oleh hadis-hadis tertentu.
Akhirnya semua perkara-perkara ini disusun oleh Imam-Imam mazhab sebagai prasyarat-prasyarat perlaksanaan sesuautu kewajipan di dalam kitab-kitab fiqh mereka.
Jika anda bertanya kepada seseorang, kenapa beliau masih belum bersolat zohor sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 8 malam? Beliau menjawab: “aku tidak bersolat zohor sebab ia tidak sesuai pada waktu ini kerana nanti orang pandang serong terhadap Islam sebagai agama kolot”. Beliau melanjutkan sebab kenapa beliau tidak bersolat sambil berkata: “kalau saya bersolat, semua di pejabat saya bekerja berkata kepada saya: ini muslim yang kolot, tengok si Ali yang juga seorang muslim, dia tak solat pun. Ali nampak up to date. Islam menjadikan penganutnya tidak produktif, asyik-asyik tak ada kat meja kerana bersolat asar dan jumaat. Takkan agama bagus jadikan penganutnya tak produktif?".
Adakah anda boleh menerima alasannya tersebut? Memang sekali tidak boleh diterima, kerana alasan ‘tidak sesuai’ kerana takut ‘orang pandang serong’ adalah keputusan akal, bukan keputusan daripada sumber Al-Quran dan Hadis. 'Orang kata itu dan ini tidak boleh menggugurkan kewajipan selepas cukup syaratnya.
Akal dijadikan oleh Allah bukan guna menentukan bila perlu bersolat atau melaksanakan hudud tanpa merujuk kepada sumber yang sahih, tetapi ia dijadikan guna untuk memahami Al-Quran dan Sunnah berkenaan bila perlu bersolat dan bila perlu dilaksanakan hudud. Jika anda tidak memahami Al-Quran dan Sunnah, maka and perlu bertanya kepada yang memahaminya. Firman Allah swt:
فسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون
Maksudnya: Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya.- (An-Nahl: 43 dan Al-Anbiya’: 7)

BAGAIMANA IA DITENTUKAN?
Persoalan seterusnya, setelah kita memahami bahawa Allah yang menentukan ‘bila’, maka selanjutnya bagaimana Allah menentukannya dan bagaimana kita memahaminya?
Jawapannya cukup mudah! Allah menentukannya melalui wahyu yang berupa Al-Quran dan Sunnah. Melalui wahyu, Allah SWT telah menurunkan setiap kewajipan itu beserta syarat-syarat perlaksanaannya. Apabila cukup syaratnya, maka ia adalah signal daripada Allah bahawa sudah sampai waktu melaksanakannya. Apabila syaratnya masih tidak mencukupi, maka ianya signal merah daripada Allah yang menunjukkan anda masih kena tunggu, tidak sampai lagi masa melaksanakannya.
Ada syarat yang wajib anda usahakan seperti wuduk untuk solat dan ada syarat yang tidak wajib anda usahakan seperti mencari wang untuk menunaikan haji. Siapa penentunya, jawapan ialah nas yang difahami melalui ilmu usul fekah.
Apabila anda sudah melengkapi kesemua syarat wajib, kemudian anda mengabaikan kewajipan tersebut sehingga luput waktunya, maka anda dianggap berdosa, berabai, berdolak dalik dan tidak menunaikan kewajipan. Jika anda melaksanakan sesuatu kewajipan yang bersyarat sebelum cukup syarat kewajipannya, maka anda dianggap sebagai gopoh. Apabila anda melaksanakan sesuatu kewajipan apabila cukup semua syaratnya, maka dianggap melaksanakannya tepat pada waktunya.
Oleh itu, apabila anda bersolat zohor pada pukul 8 pagi, maka ia dianggap gopoh dan satu bidaah yang haram kerana syarat wajib zohor adalah masuk waktunya, iaitu lebih kurang pukul 1.30 jika waktu Malaysia. Jika anda solat pada pukul 1.45, maka ia dianggap solat tepat pada waktunya justeru semua syarat kewajipan sudah mencukupi. Apabila anda masih belum bersolat zohor pada pukul 8 sebelah malamnya, maka anda dianggap berdosa kerana sengaja meninggalkan solat. Maka pada waktu itu, anda layak dikecam dan disebut ‘tidak bersolat’. Apa ukurannya? Jawapannya ialah syarat-syarat wajib.
Begitu juga undang-undang Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, apabila cukup syarat perlaksanaannya, maka ia wajib dilaksanakan kerana sudah ‘sampai masanya’. Jika syaratnya masih belum mengcukupi, maka perlaksanaannya ketika itu adalah ‘gopoh’. Apabila syaratnya sudah mencukupi tetapi langsung tidak memulakannya hatta mengenakmenkannya (taqnin), maka ia boleh dihukum sebagai ‘tidak melaksanakan’.

AKAL ANDA ATAU SYARIAT?
Oleh itu, selepas cukup semua syarat solat yang telah digariskan oleh nas dan anda tidak melaksanakan solat beralasankan ‘nanti orang kata’, maka itu adalah alasan akal anda, bukan alasan syariat. Syariat sudah menganggap anda berdosa sekalipun akal anda tidak beranggapan demikian, kerana hukum ditentukan oleh syariat, bukan akal anda. Akal dijadikan oleh Allah untuk memahami syariat bilakah anda perlu bersolat, bukan akal dijadikan untuk menentukan bila anda mahu bersolat.
Jika anda tidak bersolat untuk menunggu anda betul-betul bersedia, maka anda sebenarnya telah memandu syariat dengan akal anda. Jika anda tetap bersolat walau letih, walau sakit, walau tidak bersedia, walau anda dikecam justeru syarat sudah melengkapi anda, maka pada waktu itu syariat telah memandu anda.
Apabila syarat-syarat melaksanakan hudud sudah melengkapi anda, maka anda perlu melaksanakannya. Jika anda langsung tidak memulakannya dengan alasan masih belum bersedia, keadaan tak kondusif, nanti orang tak sokong, masyarakat majmuk dan lain-lain, maka anda telah memandu syariat dengan akal anda. Jika anda melaksanakannya apabila cukup semua syarat-syaratnya, maka anda telah dipandu oleh Syariat.
Dalam masa yang sama, anda memberikan penerangan kepada orang ramai disamping praktis perlaksanaan yang jelas, maka anda adalah pendakwah yang bertangungjawab di samping ahli politik yang beribadat. Anda pendakwah kerana menerangkan hudud dan kebaikannya, anda beribadat dengan politik kerana perlaksanaan hudud adalah sebahagian ibadat penting di dalam Islam.

FIQH WAAQI’: KADANGKALA DUA ORANG BERBEZA SYARAT SEKALIPUN PADA WAKTU YANG SAMA.
Sekalipun anda yang bermukim di KL kagum dengan ulama hebat datang dari Johor, anda tidak boleh mengikutnya bersolat zohor 2 rakaat kerana ulama itu melengkapi syarat qasar tetapi tidak anda!
Sekalipun anda beralasankan dia syeikh yang hebat, maka itu alasan anda, bukan alasan syariat. Alasan syariat ialah solat qasar mestilah bersyaratkan musafir. Bila anda tetap ingin mengqasarkan solat zohor anda berhujahkan ia dilakukan oleh seorang ulama yang hebat, maka anda tidak memahami waqi’ beliau dan waqi’ anda. Memahami waaqi’ (realiti musafir) yang berkait dengan syarat (musafir sebagai syarat qasar), menjadikan anda faham bahawa waqi’ musafirnya telah mengharuskan beliau bersolat qasar, waqi’ anda yang bermukim tidak mengharuskan anda qasar. Maka ia dinamakan fiqh waaqi’ yang dibahaskan oleh ulama-ulama Islam seperti Dr. Yusof Al-Qardhawi dan lain-lain.
Tetapi jika anda berhujah, saya tidak mahu bersolat sebab waqi’nya orang akan pandang serong, maka itu bukan fiqh waqi’ namanya kerana waqi’ (realiti) ‘orang pandang serong’ langsung tiada kaitan dengan prasyarat bersolat. Itu bukan fiqh waqi’ syarii (realiti yang diiktiraf syariat) tetapi itu adalah fiqh waaqi’ aqli (realiti yang diukur oleh akal, bukan syariat).
Waaqi' yang sentiasa disebutkan oleh Dr. Dzul adalah waaqi' yang mana satu? Jika waaqi' yang berkaitan prasyarat huudud, maka itulah berbahasan fiqh waaqi' yang sebenar. Jika waqi' itu tidak berkait dengan prasyarat hudud untuk dianggap sebagai faktor kesan kepada perlaksanaany, maka itu namanya waaqi' aqli, bukan syar'ii?
Dalam konteks Malaysia, PAS dan UMNO mempunyai hukum berbeza. UMNO sudah cukup syarat, maka UMNO sudah boleh dikategorikan ‘tidak mahu laksanakan hudud’ dan berdosa. Orang yang menyokongnya pun berdosa. Ulama yang mendampingi UMNO, tumpang periuk UMNO, sibuk nasihatkan PAS supaya tidak gopoh, konon-kononya nak betulkan PAS, silap haribulan boleh jadi ‘syaitan bisu’ atau lebih lembut, tikus betulkan labu.
PAS di negeri-negeri yang dimenangi, masih belum mengcukupi syarat melaksanakan hudud kerana kuasa polis, mahkamah dan penjara di bawah kuasa kerajaan pusat, atau lebih tepat di bawah kuasa UMNO. Oleh itu, PAS tidak boleh dikategorikan tidak melaksanakan hudud kerana masih belum melengkapi syarat-syaratnya.
Dengan kata lain, UMNO dan PAS sememangnya berbeza dari segi hukum kewajipan melaksanakan hudud. UMNO boleh dikategori berdosa jika tidak melaksanakan hudud manakala PAS tidak boleh dikategorikan demikian kerana syarat yang dimiliki masing-masing adalah berbeza sekalipun di negara yang sama. Anda tidak boleh mencabar PAS di Kelantan untuk melaksanakan hudud selagi syarat kewajipan belum dilengkapi. Tetapi anda boleh mencabar UMNO untuk melaksanakan hudud di Malaysia kerana mereka sudah melengkapi syarat.
Jika kita perhatikan syarat-syarat penting perlaksanaan hudud, ia merangkumi kuasa polis, kuasa mahkamah, kuasa undang-undang, kuasa mahkamah dan lain-lain. Jika PAS di Terengganu suatu waktu dahulu dan PAS di Kelantan, termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tidak melaksanakan hudud maka ia tidak berdosa kerana mereka hanya ada kuasa undang-undang Islam yang terhad di peringkat negeri, tetapi langsung tiada kuasa polis, mahkamah, penjara dan lain-lain. Maka syarat mereka tidak mencukupi.
Manakala UMNO di peringkat Pusat, memerintah kerajaan Persekutuan, yang mempunyai kuasa polis, mahkamah, penjara, kehakiman dan lain-lain, maka apabila UMNO di peringkat kerajaan Malaysia tidak melaksanakannya, maka kita boleh menghukumkannya sebagai berdosa. Penyokongnya adalah berdosa dan mengundi mereka juga adalah berdosa kerana mengekalkan pengabaian melaksanakan hukum Islam setelah sekian lama mereka dilengkapi syarat kewajipan.

ADAKAH MENGENAKMENKAN HUDUD DI TERENGGANU DAN KELANTAN GOPOH?
Jawapannya adalah tidak!!!
Enakmen ini bukan bermakna perlaksanaan. Ia hanya pentaqninan. Ia seumpama wuduk untuk bersolat. Yang wajibnya solat tetapi wuduk adalah prasyarat atau necessary (keperluan) kepada solat. Hukum asalnya tidak wajib, tetapi ianya hanya berubah menjadi wajib kerana mahu bersolat. Kaedah ada menyebut:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Maksudnya: sesuatu yang wajib tidak boleh sempurna melainkan dengan prasyaratnya, maka prasyarat itu akan berubah menjadi wajib.
Sesuatu perlaksanaan undang-undang pada hari ini perlu dienakmenkan sebelum dikuatkuasakan dan dilaksanakan. Mengenakmenkan itu sendiri tidak wajib, tetapi yang wajib ialah perlaksanaan hudud. Tetapi dalam konteks hari ini, perlaksanaan hudud tidak boleh berlaku melainkan mesti dienakmenkan terlebih dahulu, maka mengenakmenkan itu berubah menjadi wajib apabila perlaksanaan bergantung kepada pengenakmaan tersebut. Tetapi selama mana perlaksanaan belum lagi mencukupi syaratnya, maka pengenakmaan itu tidak wajib dan keperluannya bergantung kepada realiti (waaqi’;) PAS di negeri-negeri tertentu. Kenapa Terengganu dan Kelantan enakmenkan lebih awal? Bukankah ianya gopoh? Jawapannya selepas ini.
Menyalahkan Kelantan dan Terengganu kerana menggubal enakmen hudud seumpamanya menyalahkan orang yang berwuduk sebelum zohor. Orang yang bersolat zohor pada pukul 11 pagi memang salah kerana gopoh. Tetapi tidak orang yang berwuduk yang menunggu setia serta bersedia lebih awal untuk melakukan solat zohor apabila masuk waktunya.
Adalah sangat tidak wajar orang yang bersiap untuk melakukan kebaikan dianggap sebagai gopoh. Takkan orang tunggu waktu solat dengan siap berwuduk dianggap gopoh?
Dengan kata lain, mengenakmenkan hudud di Kelantan dan Terengganu boleh diumpamakan seperti ambil wuduk sebelum masuk waktu solat zohor. Sememangnya menunaikan solat zohor pada pukul 11 pagi adalah gopoh. Tetapi berwuduk pada pukul 11 pagi adalah harus bagi persediaan menunaikan zohor yang wajib. Apatah lagi, jika dianggarkan tempat wuduk akan bersesak sejurus masuk waktu solat zohor, maka mengambil wuduk lebih awal adalah digalakkan supaya ia boleh terus sahaja masuk sof solat apabila tiba waktunya tanpa bersesak untuk berwuduk terlebih dahulu. Orang yang belum berwuduk mungkin akan ketinggalan sof kerana tempat wuduk bersesak semasa masuk waktunya.
Ada orang yang sesuai berwuduk pada waktu lebih awal, ada orang yang mungkin tak sesuai. Tetapi berwuduk sebelum waktunya itu sendiri tidak wajib, tidak haram dan ‘tidak gopoh’. Sama juga dengan mengenakmenkan undang-undang jenayah di peringkat negeri yang tiada kuasa penuh seperti kerajaan pusat, hukumnya juga tidak wajib dan ia juga tidak gopoh. Jadi tidak hairan jika Kelantan dan Terengganu mengenakmenkan hudud justeru PAS memenangi lebih 2/3 kerusi DUN, manakala Kedah tidak berbuat demikian. Pun begitu, PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak berdosa kerana semua mereka tidak melengkapi syarat, tetapi UMNO tetap dianggap berdosa dan boleh dihukum sebagai ‘tidak melaksanakan’ justeru mereka sudah melengkapi syarat-syarat wajib sejak lebih 50 tahun dan tiada satu langkah permulaanpun yang telah diambil.

JIKA TIDAK WAJIB, KENAPA PAS ENAKMENKANNYA JUGA DI KELANTAN DAN TERENGGANU?
Saya pernah bertanya kepada salah seorang pemimpin PAS Terengganu sewaktu hudud hendak dienakmenkan. Saya bertanya: “kenapa kita di Terengganu nak enakmenkan sesuatu yang pasti kita tidak boleh laksanakan?” Pemimpin kanan itu menjawab ringkas tapi padat: ‘untuk dakwah’.
Apa maksudnya untuk dakwah? Maksudnya ialah, dengan mengenakmenkan hudud secara official oleh kerajaan PAS di negeri-negeri tersebut, ia akan menarik perhatian orang ramai untuk dibawa kepada perbincangan lebih formal dan akademik seperti dialog, seminar, rujukan tesis M.A, PHD dan sebagainya.
Memang benar, selepas ia dienakmenkan, banyak forum dan dialog diadakan, khususnya dengan non-muslim. Maka ia adalah jambatan dakwah yang menjadi sebahagian daripada tujuan kita berpolitik. Jika ada sesetengah pihak yang meminta untuk perbincangan hudud dihentikan dan membawanya ke meja perbincangan lebih ilmiah dan dalam masa yang sama mengkritik pengtaqninan hudud di Terengganu dan Kelantan, maka sebenarnya orang ini sedang bermimpi di siang hari kerana PAS telah mengenakmenkan untuk tujuan itu dan sememangnya itu telah berlaku dan telahpun memahamkan ramai pihak termasuk non-muslim.
Hasil dialog ini, saya dapati kebanyakan Cina di Terengganu dan Kelantan tiada masalah dengan hudud selepas mereka memahaminya, seterusnya mereka tiada masalah dengan ‘Negara Islam’. Selepas enakmen yang mewujudkan dialog dan perbincangan, maka ketakukan kepada hudud tidak lagi boleh diregukan dengan non-muslim, bahkan hanya boleh diregukan dengan orang jahat, jahil dan ‘keras kepala’, sama ada mereka melayu atau bukan Melayu, muslim atau non-muslim.
Itulah seni dakwah berpolitik. Sekalipun tak menang pada hari ini, tetapi dakwah dapat di sampaikan. Maka lambat laun akan menang juga dengan kemenangan mutlak selepas ianya difahami, bukan kemenangan rapuh dengan seni politik ‘ular daun’.
Maka disini tidak timbul isu PAS gopoh, atau PAS perlu dahulukan pendidikan berbanding perlaksanaan, kerana pembentukan enakmen hudud dan qisas Kelantan dan Terengganu adalah landasan memberikan pendidikan dan pembelajaran kepada orang ramai secara lebih akademik, berfakta, bukan perlaksanaan segera. Itulah yang disebutkan “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. (Yusof: 10)
Menyeru manusia kepada Islam dengan بصيرة (keteragan dan bukti yang jelas nyata) adalah jalan dakwah rasul-rasul, menarik kepada sokongan mereka yang ikhlas, bertembung dengan golongan jahat dan seterusnya datang pertolongan Allah. Bukan menyeru orang kepada Islam dengan jalan ‘ular daun’. Itu bukan sunnah dakwah para Rasul. Maka mengenakmenkan di Terengganu dan kelantan bagi tujuan supaya mengangkat martabat perbincangan undang-undang Islam ke tahap yang lebih profesional adalah sangat indah dan suci.
Mengangkat martabat perbincangan ini ke tahap yang lebih tinggi dan professional sebenarnya telah benar-benar berlaku khususnya selepas enakmen tersebut diluluskan. Undang-undang Islam sebelum itu hanya dalam bentuk ceramah dan ‘cakap-cakap kedai kopi’ sahaja.
Justeru itu, tindakan PAS di Terengganu dan Kelantan yang telah menaikkan martabat undang-undang Islam ke tahap enakmen negeri, dan dalam masa yang sama penggubalan enakmen itu juga telah berupa seruan yang telah mengangkat perbincangan itu ke tahap lebih mulia seperti muzakarah, sidang meja bulat, diskusi dan lain-lain.
Sebenarnya orang yang mengkritik enakmen itu sebagai gopoh kerana seolah-olah ianya belum lagi dinaikkan martabat perbincangannya adalah orang yang sedang bermimpi justeru realitinya sudah lama berlaku. Orang yang menyeru itu seolah-olah ia sedang hidup di zaman 80an, walhal sekarang sudah tahun 2012 kerana seruannya itu sudah berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu, atau dengan kata lain, perbincangan ilmiah sebelum berlaku enakmen terlah berlalu hampir 20 tahun.
Saya tidak mengkritik seruannya untuk menaikkan martabat perbincangan, tetapi mengkritiknya kerana tidak memahami realiti sejarah dan realiti tindakan PAS sehingga menganggap enakmen itu seolah-olah satu perlaksanaan. Dan inilah kesilapan mereka yang mengkritik enakmen Kelantan dan Terengganu sebagai 'gopoh' kerana seolah-olah Kelantan dan Terengganu sudah menjatuhkan hukuman ke atas pesalah hudud, (tatbiq) wal hal tidak begitu.

GOLONGAN YANG MEMBUAT PENILAIAN ENAKMEN HUDUD KELANTAN DAN TERENGGANU.
Seseorang yang dilarang bersolat dengan diikat dilantai apabila cukup syaratnya, maka ia tetap perlu bersolat, sekalipun tidak tuntas dengan solat orang yang bebas. Sememangnya solatnya tidak sama dengan orang lain yang bersolat normal.
Mengkritik cara sembahyang berbaring orang diikat tadi dengan menggunakan hujah daripada kitab Fiqh bahawa syarat sah solat mestilah didirikan dalam keadaan berdiri, adalah pengkritik yang tidak mengetahui waqi' dan hukum fiqh external. Dengan bangganya, pengkritik itu mengatakan bahawa si pesolat yang diikat tadi bersolat dengan cara baru, salah dan bidaah kerana ia tidak menepati kitab itu dan ini, yang menaskan secara jelas bahawa solat syaratnya mestilah dilaksanakan dalam keadaan berdiri tegak. Wal hal dia tidak membaca isu hukum dharurah, garis panduan dharurah, kaedah ‘sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan kesemuanya, maka tidak boleh ditinggalkan kesemuanya’ dan lain-lain bab.
Itu yang dikatakan tidak memahami fiqh waqi’ (realiti). Dalam keadaan enakmen Terengganu dan Kelantan digubal di dalam kerangka perlembagaan Malaysia yang mengongkong, maka banyak perkara yang terpaksa dielak bagi mematuhi perkara tersebut. Kecuali kalau PAS sudah dapat memerintah Malaysia dan undang-udang tersebut dienakmenkan secara bebas tanpa kongkongan.
Walau apapun, ia adalah silibus pendidikan, pembesar suara yang menyeru kepada perbincangan yang lebih formal, serta mengorak langkah penting sebagai persediaan untuk perlaksanaan apabila cukup semua syaratnya. Itulah realiti dan itulah fiqh waaqi’ yang sebenar.

APAKAH YANG BOLEH MEMBATALKAN KEWAJIPAN SELEPAS CUKUP SYARAT.
Apabila mencukupi semua syarat, maka perlaksanaan sesuatu kewajipan mesti bermula. Kewajipan yang sepatut telah bermula tidak akan gugur melainkan apabila hilang syarat kewajipan sebelum sempat melaksanakannya atau berlaku Dharurah. Dharurah bermaksud, apabila kita melaksanakannya, maka kita boleh mati, harta semua akan habis dan seumpamanya yang bersifat rosak dan hancur.
Apabila telah cukup syarat solat, tetapi tiba-tiba ia didatangi haid sebelum sempat ia bersolat, maka gugur kewajipan tersebut. Atau ada penjahat yang mengugut, kalau anda bersolat maka anda akan dibunuh, maka kewajipan tidak berlaku pada waktu tersebut.
Adapun masyaqqah atau kesusahan, kepayahan dan kepedihan, ia tidak boleh membatalkan kewajipan selepas cukup syaratnya.
Sebagai contoh, selepas cukup semua syarat wajib solat, maka anda mestilah melaksanakannya. Apabila anda diugut bunuh jika bersolat dan langsung tidak ada ruang untuk bersolat sekalipun dengan isyarat, maka anda boleh untuk tidak bersolat kerana dharurah.
Tetapi kewajipan solat anda tidak akan gugur jika anda akan kerugian RM50, atau diejek, atau dipukul dengan rotan jika anda tetap bersolat, kerana ia masyaqqah, bukan Dharurah. Apatah lagi jika anda menggunakan alasan belum bersedia untuk bersolat, maka ia langsung tidak diterima syariat, sekalipun akal anda nampak bagus.
Sama halnya dengan hudud, kewajipan tidak akan gugur daripada UMNO melainkan hanya jika hanya berlaku Dharurah. Maka jika tiada dhrurat, yang ada hanyalah masyaqqah, maka kewajipan itu tidak gugur daripada UMNO. Jika ada pihak yang kata, tidak wajib ,melaksanakan hudud kerana suasana tidak kondusif seperti ada rasuah, penyelewengan dan lain-lain, maka ianya langsung tiada asas syariat sama sekali.
Jika dikatakan Saidina Umar pernah tidak melaksanakan hudud kerana keadaan tidak kondusif, maka itu adalah fitnah sama sekali. Insyallah, nanti saya akan coretkan dalam artikel yang khusus.

KESIMPULAN:
Kenyataan Dr. Asri Zainal Abidin yang dilihat selari dengan segelintir individu di dalam PAS bahawa perlaksanaan hudud tidak wajar kerana keadaan yang tidak kondusif, langsung tidak ada asas yang kuat dari segi syariat. Kenyataan ‘Perlaksanaan hudud dalam keadaan negara hari ini yang tidak kondusif adalah gopoh’ dalam konteks yang terlalu umum memahamkan orang ramai bahawa UMNO hari ini tidak lagi bersalah dan berdosa kerana tidak pernah memulakan langkah perlaksanaan hudud sekalipun sudah memerintah selama lebih 50 tahun. Tempoh yang cukup lama, daripada negara yang tiada kadar jenayah yang tinggi sehingga kes jenayah boleh dihitung dengan purata minit sebagaimana pada hari ini.
Dalam masa yang sama, ia memberikan gambaran negatif kepada PAS kelantan dan Terengganu dengan imej terlalu gopoh kerana telah ‘melaksanakan’ hudud dalam keadaan yang tidak kondusif.
Apa yang lebih malang, Dr. Dzul juga menyebut di dalam MOBTV: “Sepertimana yang telah disebutkan oleh Ustaaz Fathul Bari tadi, tidak perlu dibawa dalam bentuk isti’jal (tergesa-gesa), jangan terlalu tergesa-gesa, al-isti’jal mina as-syaitan. Ia mesti dibawa, di tangani dan diurus dengan baik dan cermat.”Ayatnya nampak bagus dari segi zahir mereka yang mendahulukan akal, tetapi ia cukup keliru bagi mereka yang mendahulukan nas dan memahami usul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan