Halaman

Khamis, 10 Februari 2011

PARAH MALAYSIA HARI INI

KUALA LUMPUR - Pelbagai kempen serta inisiatif dilakukan agensi penguat kuasa bagi menangani masalah buang bayi, namun gejala itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Ini terbukti apabila sebanyak 517 kes buang bayi dikesan bagi tempoh 2005 hingga Januari lalu, manakala hanya sembilan pelaku (suspek) dijatuhi hukuman bagi tempoh sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, daripada jumlah itu, seramai 203 bayi lelaki dan 164 bayi perempuan dilaporkan dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, baki 150 bayi tidak diketahui jantina mereka kerana keadaan mayat yang sudah reput serta menyukarkan untuk dibedah siasat.

Katanya, pecahan bayi yang dijumpai hidup bagi tempoh itu adalah 230 orang, manakala 287 ditemui mati.

“Bagi tempoh Januari lalu sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi dilaporkan dan bilangan ini menjelaskan bahawa kes buang bayi berada pada tahap amat serius.

“Perkara ini perlu ditangani secara menyeluruh, melibatkan kerjasama pelbagai pihak melalui pendekatan yang lebih efektif dan efisien,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya turut membuat tangkapan ke atas 27 individu yang disyaki terbabit membuang bayi bagi tempoh lima tahun lalu.

“Seramai 18 orang dituduh di mahkamah, manakala sembilan lagi dijatuhi hukuman.

"Ada banyak kekangan dalam menjalankan siasatan kerana tiada maklumat berhubung identiti suspek yang membuang bayi, lalu menyukarkan proses mengesan mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan